Unit Pengurusan Acara dan Protokol, MPRC merupakan entiti utama yang menerajui pengurusan serta penyelarasan penganjuran acara rasmi Universiti dengan menitikberatkan pematuhan kepada standard protokol dan tatacara yang ditetapkan.
Berteraskan pendekatan strategik berasaskan konsep 3P (Perancangan, Pelaksanaan dan Penilaian), unit ini memastikan setiap acara dirancang secara teliti, dilaksanakan dengan teratur serta dinilai secara menyeluruh bagi menjamin keberkesanan dan impak yang optimum.
Unit ini turut berperanan sebagai pemudah cara dan penasihat dalam pengurusan acara, dengan memastikan setiap pelaksanaan memenuhi amalan terbaik, mematuhi keperluan protokol serta mengambil kira semua aspek kritikal demi kelancaran majlis.
Sejajar dengan aspirasi Universiti, unit ini menyumbang secara signifikan dalam memperkukuh imej institusi, meningkatkan reputasi serta membentuk persepsi positif dalam kalangan pemegang taruh dalaman dan luaran melalui penganjuran majlis rasmi yang berprestij dan berkualiti tinggi.
Selain itu, perkhidmatan yang ditawarkan dapat dimanfaatkan oleh seluruh warga Universiti dalam usaha memperkasakan penjenamaan institusi serta menyerlahkan kecemerlangan sebagai sebuah Menara Ilmu melalui pengurusan majlis yang profesional, sistematik dan bertanda aras tinggi.
PENGENALAN
Unit Pengurusan Acara dan Protokol, MPRC bertanggungjawab dalam hal ehwal penganjuran sesuatu acara rasmi Universiti serta perkara-perkara yang bersangkutan dengan protokol dan tatacara berdasarkan atur cara perjalanan majlis.
Unit Pengurusan Acara dan Protokol, MPRC mengawal selia pelaksanaan serta membantu penganjuran sesuatu acara agar berjalan dengan lancar dan semua perkara penting telah diambil kira. Pengurusan acara rasmi pada kebiasaannya akan melibatkan tiga perkara utama iaitu Perancangan (sebelum), Pelaksanaan (semasa) dan Penilaian (selepas) – 3P.
Ini juga bertepatan dengan peranan MPRC bagi mencapai hasrat, misi dan visi Universiti untuk membina imej dan membentuk persepsi terhadap keutuhan Universiti di kalangan pelbagai kumpulan sasaran secara terancang dan berterusan melalui penganjuran majlis-majlis rasmi.
Seterusnya, perkhidmatan yang disediakan ini dapat dimanfaatkan bersama-sama warga Universiti dalam usaha membentuk imej kecemerlangan dan kekuatan sebuah Menara Ilmu melalui pengurusan majlis dengan tanda aras tersendiri.
OBJEKTIF
01
Rujukan kepada setiap Pusat Tanggungjawab (PTJ) di Universiti dalam menyampai dan mempraktikkan etiket protokol pengurusan majlis yang ingin dianjurkan di Universiti.
02
Panduan dan khidmat nasihat protokol yang mudah difahami dan mempunyai nilai tambah kepada PTJ yang menguruskan acara kerajaan.
03
Perancangan dan pelaksanaan majlis-majlis rasmi oleh setiap PTJ dapat diadakan dengan jayanya, seterusnya berupaya membangunkan persepsi yang diinginkan terhadap Universiti. Ini termasuk mengukuhkan jenamanya di kalangan kumpulan sasaran untuk jangka masa panjang secara berterusan.
Jenis-Jenis Majlis Yang Diuruskan
01
RASMI
Sesebuah acara yang dianjurkan oleh PTJ atau kerjasama dengan Kerajaan Negeri/Kerajaan Persekutuan yang mendapat kelulusan peruntukan Universiti/Kerajaan Negeri/Kerajaan Persekutuan.
02
RASMI DAN FORMAL
Acara yang sumber peruntukannya dari Universiti seperti hari bekerja dari Isnin sehingga Jumaat di pejabat, di luar pejabat, majlis penuh istiadat, majlis jamuan (malam atau hujung minggu iaitu di luar waktu rasmi bekerja). Majlis yang melibatkan pembesar Negara/Negeri/Pro-Canselor/Ahli Lembaga Gabenor Universiti (LGU)/Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JKPU) yang menepati aspek protokol secara penuh.
03
RASMI DAN TIDAK FORMAL
Acara yang sumber peruntukannya dari Universiti seperti program turun padang, lawatan dan acara perasmian. Terdapat sedikit kelonggaran daripada segi protokol.
04
TIDAK FORMAL
Acara yang dianjurkan oleh Universiti/agensi-agensi kerajaan/swasta yang tidak melibatkan peruntukan Universiti/kerajaan serta aspek protokol sepenuhnya.
05
TIDAK RASMI TETAPI FORMAL
Acara yang sumber peruntukannya bukan dari Universiti/kerajaan seperti individu atau pertubuhan/kelab yang dihadiri oleh kenamaan daripada Senarai Keutamaan Persekutuan/Negeri/Universiti.
06
SEPARA RASMI
Acara/Aktiviti seperti kejohanan sukan dan riadah di mana sebahagian sumber peruntukan dari Universiti/kerajaan/swasta dan sebahagiannya daripada sumbangan oleh kelab sukan/pertubuhan.
Jenis-Jenis Acara
DALAMAN
Sesebuah acara yang dianjurkan oleh PTJ atau kerjasama dengan Kerajaan Negeri/Kerajaan Persekutuan yang mendapat kelulusan peruntukan Universiti/Kerajaan Negeri/Kerajaan Persekutuan.
LUARAN
Acara terbuka merujuk kepada skop penglibatan peserta yang tidak terhad kepada pekerja atau ahli-ahli dalam sesebuah organisasi atau kumpulan.
KEBANGSAAN
Acara peringkat kebangsaan yang memerlukan penglibatan atau penyertaan dari pelbagai negeri.
ANTARABANGSA
Acara peringkat antarabangsa biasanya bercorak sukan, kebudayaan, kempen pelancongan, mesyuarat Ketua-ketua Negara serta agenda lain yang melibatkan penyertaan daripada beberapa negara tertentu.
Untuk permohonan perkhidmatan aktiviti/majlis:

- Borang Pengurusan Acara 📝 Borang Pengurusan Acara
- Pautan terus: https://forms.office.com/r/XjC1IDjeu












